PENGUMUMAN

SELAMAT DATANG KE LAMAN BLOG KOSIUM DAN PENJAJA.Seluruh barisan ALK KOSIUM dan AJK PPGBN9 merakam ucapan tahniah atas pelantikan YAB Dato' Seri Diraja Dr. Anwar bin Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 10



Sabtu, 26 November 2022

RAKAMAN UCAPAN TAHNIAH KEPADA PM KE 10 MALAYSIA

 

Seluruh barisan ALK KoSium dan AJK PPGBN9 merakam setinggi-tinggi tahniah kepada YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim di atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 10

Biodata Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI)
Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH). Beliau telahpun mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 November 2022 di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Dato' Seri Anwar Ibrahim merupakan anak jati Cherok Tu' Kun, Bukit Merajam Pulau Pinang dan merupakan calon PH bagi kerusi Parlimen P63 Tambun pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu. Beliau telah memenangi kerusi tersebut dengan majoriti undi 3,736.

Bersekolah rendah di Bukit Mertajam Boys School, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, seterusnya memasuki Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dari tahun 1960 hingga 1966. Melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dalam pengajian Melayu (Sastera).

Seawal beliau dalam politik, beliau disebut-sebut sebagai ‘anak didik’ Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi kemudiannya tampil sebagai seorang pengkritik Tun Mahathir yang lantang bersuara.

Beliau pernah dilantik menjadi presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dari tahun 1968 hingga 1971.

Beliau merupakan pengasas bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada tahun 1971 dan dipilih sebagai Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).

Anwar kali pertama dipenjara di Kamunting, Perak selama 20 bulan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terlibat dalam gerakan pelajar pada tahun 1974 selepas mengetuai demostrasi pelajar terhadap kemiskinan dan kelaparan di kawasan luar bandar.

Selepas keluar dari tirai besi, Anwar mengambil keputusan mengejut menyertai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) diketuai Tun Mahathir selaku Perdana Menteri sejak 1981.

Terus melebarkan sayapnya dalam UMNO, kerjaya politiknya menjadi cemerlang dan setahun selepas sertai parti keramat itu, beliau dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada tahun 1983.

Pada tahun 1984, Anwar mengetuai Kementerian Pertanian Malaysia sebelum menjadi Menteri Pendidikan pada tahun 1986. Ketika itu, Anwar berkemungkinan besar akan dilantik Timbalan Perdana Menteri setelah memegang portfolio Menteri Pendidikan.

Ternyata ramalan menjadi realiti, pada tahun 1993, Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri selepas dipilih sebagai Naib Presiden UMNO untuk menewaskan Tun Ghafar Baba yang diramal sebagai pengganti Tun Mahathir.

Setelah menjadi orang kedua terpenting dalam negara, hubungan Anwar dan Tun Mahathir menjadi rapat ibarat isi dan kuku, hubungan anak dan bapa.

Beliau juga pernah dilantik sebagai perdana menteri sementara ketika Tun Mahathir memutuskan untuk mengambil cuti selama dua bulan pada 1997.

Namun setelah itu, hubungan Anwar dan Tun Mahathir merosot akibat perbezaan pandangan semasa mentadbir negara.

Anwar juga semakin lantang bersuara mengkritik budaya nepotisma dan kronisma dalam UMNO sebagai punca utama rasuah dan penyalahgunaan bajet negara.

Anwar dipecat daripada UMNO dan kehilangan jawatan Timbalan Perdana Menteri pada September 1998, peristiwa yang mendorong kelahiran gerakan Reformasi di ibu kota dan seluruh negara.

Beliau dipenjara pada tahun 1999 atas kesalahan rasuah namun menjadi pengaruh besar kepada Barisan Alternatif (BA) dan selepasnya Pakatan Rakyat (PR) yang dianggotai Parti Keadilan Nasional (KEADILAN), Parti Islam Se-Malaysia (Pas) dan DAP.

Selepas 10 tahun tidak menceburi bidang politik, pada 29 November 2009, beliau kembali ke Parlimen sebagai tetamu menemani isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, wanita pertama mengetuai parti pembangkang.

Anwar menjadi anggota Parlimen selepas memenangi pilihan raya di Permatang Pauh pada Ogos 2008 selepas peletakan jawatan isterinya.

Anwar dipenjara sekali lagi pada 2015 selama lima tahun di Penjara Sungai Buloh atas kes pelakuan seks luar tabii.

Kemudian selepas menerima pengampunan diraja dari Sultan Muhammad V, beliau dibebaskan dari penjara pada 16 Mei 2018, selepas PH menang PRU14 pada 9 Mei 2018.

Beliau seterusnya bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson 2018 dan menang besar dengan majoriti 23,560 undi. Anwar menewaskan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad yang bertanding atas tiket Bebas memperoleh 4,230 undi, manakala bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan mendapat 82 undi.

Tiga lagi calon Bebas, Stevie Chan Keng Leong memperoleh 337 undi, manakala Lau Seck Yan (214 undi) dan Kan Chee Yuen (154 undi).

Dalam pada itu, Anwar merupakan satu-satunya warga Malaysia yang pernah tersenarai dalam 100 orang yang dikatakan paling berpengaruh di dunia oleh majalah Time iaitu pada 2008

Tiada ulasan:

Catat Ulasan